Sunday, March 17, 2013

[Kenyataan Media] Kursus Pengurusan Organisasi Jan13


Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera
.
            Alhamdulillah, RMUTP baru sahaja selesai menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi yang berlansung 3 hari 2 malam bertempat di Amir Chalet Air Tawar,Perak. Mengambil ibrah dari ayat ke 4 dari surah As Saff yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan suatu bangunan yang tersusun kukuh”, RMUTP terpanggil untuk mengadakan kursus ini bagi menyediakan kemahiran-kemahiran dan cara yang betul kepada ahli jawatankuasa Rakan Masjid UTP untuk bekerja dalam sesebuah organisasi dengan lebih tersusun dan teratur.  

RMUTP mengharapkan agar para peserta yang begitu proaktif dan responsif sepanjang kursus ini agar dapat mempraktikkan ilmu-ilmu dan kemahiran yang disediakan dengan  lebih cemerlang demi membawa dakwah Islam di muka bumi ini khususnya di UTP. Kepada semua ahli jawantankuasa pelaksana kursus ini, RMUTP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dengan berjayanya kursus ini. Diharapkan ianya akan menjadi satu bekalan amal yang akan dibawa di akhirat kelak dan mendapat keredhaan dari Allah.

Barisan Peserta Muslimin bersama AJK program dan MTME Rakan Masjid



Barisan Peserta Muslimat berserta AJK program dan MTME Rakan Masjid

Ayuh kita bersama-sama Rakan Masjid UTP dalam membina biah solehah di UTP.

Sekian, wallahualam.


Zulfikri Bin Saad
Ketua Penerangan dan Perhubungan Awam
Rakan Masjid UTP 2013

Monday, March 11, 2013

[Kenyataan Rasmi] Kem Al Fateh 2.0


Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera

Alhamdulillah, pada 9-10 Mac 2013, Pusat Islam An-Nur dengan kerjasama Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS telah dikunjungi oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman bersama krew beliau dari Ibrah Paradigm Training and Consultancy untuk mengadakan program Kem Al-Fatih 2.0 dengan tema “Serlah Potensi Kepemimpinan Mahasiswa Sehebat Al-Fatih”. Program ini telah dihadiri oleh peserta dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Teknologi Mara cawangan Seri Iskandar (UiTM Perak), Royal College Medical Perak (RCMP) dan juga beberapa pelajar sekolah seperti Sekolah Sultan Yusuf, Batu Gajah dan Sekolah Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Program ini adalah lanjutan dari program yang pertama yang dianjurkan oleh kepimpinan penggal 2012. Pelbagai modul dibuat bagi menggilap semangat dan menemukan potensi diri yang ada dalam diri para peserta yang hadir pada program ini. Dalam program dua hari satu malam ini, peserta didedahkan dengan kehebatan seorang manusia bernama Sultan Muhammad al-Fatih yang juga disebut oleh barat sebagai Mehmet II. Beliau merupakan tokoh yang telah membuka kota Konstantinopel (kini Istanbul) pada era Khilafah Turki Uthmaniyyah. Setelah 800 tahun Nabi mengungkapkan sabda baginda bahawa Konstantinopel akan dibuka oleh Islam yang mana pada ketika itu Raja yang membuka kota itu adalah Raja yang terbaik dan tenteranya juga adalah tentera yang terbaik.

Dalam siri program ini, peserta didedahkan dengan kehebatan cara fikir Sultan Muhammad al-Fatih sehingga berjaya membuka kota Konstantinopel. Motivasi yang diberikan supaya kita sentiasa fokus dalam urusan yang dilakukan, berfikiran positif, bersungguh-sungguh dan sebagainya untuk kita terus menggilap potensi diri ke tahap maksima.

Memetik dari buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fatih” yang ditulis sendiri oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman, beliau meletakkan 12 kuasa kepemimpinan al-Fatih yang menjadi faktor kejayaan baginda membuka kota Konstantinopel yang boleh kita jadikan sebagai panduan untuk membentuk cara fikir dan cara kerja kita supaya menjadi sehebat tokoh besar ini.

Alhamdulillah, sepanjang dua hari berprogram untuk Kem Al-Fatih 2.0, maklum balas yang diterima sangat memberansangkan. Insya-Allah Rakan Masjid UTP akan terus komited untuk membawa program-program yang bermanfaat kepada mahasiswa-mahasiswa Universiti Teknologi PETRONAS khususnya dan juga kepada warga Qaryah Masjid An-Nur Universiti Teknologi PETRONAS dengan harapan kita terus hebat dalam mengislahkan diri dan seterusnya berdakwah kepada seluruh umat.

Saya mewakili saf kepimpinan Rakan Masjid UTP mengucapkan tahniah kepada para peserta  yang telah bersama-sama mengikuti kami dalam Kem Al-Fatih ini. Kami juga ingin mengucapkan sejuta penghargaan  kepada Ustaz Syaari Abdul Rahman bersama krew beliau dari Ibrah Paradigm Training and Consultancy. Tidak lupa juga kepada Pusat Islam An-Nur yang terus menyokong dan bersama-sama Rakan Masjid UTP untuk membina biah solehah di kampus yang hebat ini. Semoga usaha kita yang kecil ini dipandang oleh Allah swt dan menjadi batu loncatan kepada kita semua untuk terus utuh di atas jalan dakwah ini.

Sekian.

ARIF AIZUDDIN BIN MOHD SA’AD
Presiden
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS



Gambar 1 - Barisan Jawatankuasa Pelaksana Kem Al-Fatih bersama krew Ibrah Paradigm Training and Consultancy



Gambar 2 - Presiden RMUTP bergambar bersama krew Ibrah Paradigm Training and Consultancy








Thursday, March 7, 2013

[Kenyataan Media] UTP di Berita Harian

Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera.

RMUTP sangat tertarik dengan satu ruangan di akhbar Berita Harian pada hari ini yang secara lansung mempromosikan Universiti Teknologi Petronas di mata masyarakat Malaysia dengan berjudul “ Universiti Teknologi Petronas mercu tanda seni bina mapan Negara- Kampus mesra alam, Islamik“.


RMUTP menyambut baik ruangan ini yang merupakan pandangan positif masyarakat luar terhadap UTP. Ruangan ini juga sangat memberi saranan kepada seluruh masyarakat UTP untuk menunjukkan UTP bukan hanya Islamik dari segi seni binanya sahaja bahkan memiliki para pelajar serba boleh yang mempunyai nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh itu, RMUTP sangatlah berbesar hati untuk mengajak semua masyarakat UTP untuk kita sama-sama menjayakan fokus utama kepimpinan Rakan Masjid pada penggal ini iaitu ingin menjadikan Masjid An-Nur sebagai pusat segala aktiviti atau dengan kata lain memakmurkan Masjid An-Nur yang tersergam indah itu di setiap masa oleh masyarakat UTP dan ahli kariah sekitarnya. Seperti mana kita berlumba-lumba untuk mendapat kejayaan yang cemerlang dalam bidang masing-masing dengan bersungguh-sungguh untuk datang ke kuliah-kuliah harian, begitulah juga kita berlumba-lumba untuk mengikuti siri-siri kuliah yang terdapat di masjid, menyertai aktiviti-aktiviti Islamik tambahan selain akademik dan juga berlumba-lumba untuk mendapatkan saff pertama bagi setiap solat fardu di masjid.

"...maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan..."
(Surah Al-Baqarah 2:148)

Hal ini kerana masjid merupakan tempat yang paling strategik untuk membangunkan manusia dengan kita mengambil ibrah dari sirah Nabi SAW yang mana walaupun dalam keadaan musafir iaitu dalam perjalanan hijrah Nabi SAW ke Madinah , Nabi SAW membina masjid iaitu Masjid Quba’, begitulah setibanya Nabi SAW di Madinah , bangunan pertama yang di dirikan di Madinah adalah masjid yang menunjukkan kepentingan masjid dalam kehidupan seorang muslim. Oleh itu, RMUTP sangatlah terpanggil untuk sama-sama menyeru masyarakat UTP untuk sama-sama kita memakmurkan masjid dan membentuk kampus Islamik seperti yang dipromosikan oleh akhbar Berita Harian pada hari ini. Walaupun kita mengambil bidang kejuruteraan dan teknologi tetapi ianya tidak menghalang kita untuk melahirkan golongan professional yang rabbani.

Ayuh bersama-sama Rakan Masjid UTP (RMUTP) untuk sama-sama membina biah solehah di kampus UTP yang tercinta ini.

Sekian, wallahualam.

Zul Fikri Saad ,
Ketua Penerangan dan Perhubungan Awam
Rakan Masjid UTP 2013.